Majlis Daerah Tumpat adalah sebuah Badan Berkanun Negeri yang ditubuh pada 1 Januari 1979
berikutan suatu keputusan dibuat oleh Majlis
Negara bagi Kerajaan Tempatan dalam tahun 1973 berhasrat supaya pihak-pihak berkuasa tempatan dalam
Semenanjung Malaysia dibuat penyusunan semula. Penyusunan
semula Penguasa-penguasa Tempatan ini dibuat adalah berdasarkan kepada
Akta Kerajaan Tempatan, Akta 171 tahun 1976.
Sebenarnya sistem Kerajaan Tempatan di
Negeri Kelantan Darulnaim ini telah lama wujud ianya bermula sejak tahun
1907 dengan penubuhan ‘Sanitory Board’ di
beberapa kawasan di bawah undang-undang ‘Sanitory Board’ tahun 1907. Tumpat
seiring dengan Kota Bharu dan Pasir Mas merupakan tiga buah jajahan
yang mula-mula diletakkan di bawah kawalan ‘Sanitory
Board’ dengan tugas-tugas utama
kebersihan, pungutan sampah dan lampu-lampu jalan pada tahun 1914.
Dalam penyusunan semula Penguasa-penguasa
Tempatan yang telah sedia ada sebelum tahun 1979 iaitu
Lembaga Bandaran Tumpat yang wujud dalam tahun 1955 dan
Majlis Tempatan Wakaf Bharu dengan beberapa
kawasan baru yang terletak di luar daripada dua penguasa
tempatan tersebut menjadikan satu penguasa tempatan
yang diberi nama Majlis Daerah Tumpat‘ seperti namanya pada hari ini.